Penduduk Kampung Ayer
Jun 28th
Di penghujung tahun 80-an, penduduk Kampung Ayer dicatatkan seramai 30 ribu orang. Sejak akhir-akhir ini tidak dipastikan berapakah bilangan yang tercatat. Ini kerana penghijrahan penduduk ke darat dan memiliki rumah sendiri di bawah skim perumahan kerajaan atau membina rumah di tanah milik sendiri menyebabkan bilangan itu berkurangan.
Peristiwa-peristiwa kebakaran yang besar yang dialami beberapa buah kampung seperti Kg. Saba, Kg. Lurong Sikuna, dan lebih besar suatu ketika dulu di tapak Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sekarang iaitu Kg. Sultan Lama, memberi impak yang besar kependudukan Kampung Ayer.
Bahan-bahan binaan yang mudah terbakar dan tidak kalis api adalah penyumbang utama puncanya kebakaran berlaku dan jarak rumah ke sebuah rumah yang rapat memudahkan api cepat merebak dalam beberapa saat sahaja.
.
Tindulang
Jan 25th
Tudung Dulang atau Tudung Saji adalah salah satu kegunaan zaman dulu. Malah ada yang masih menggunakannya walaupun alatan moden sudah ada seperti peti sejuk dan freezer.
Ia digunakan untuk mengelak lalat, langau atau agas mendekati makanan khususnya ikan yang mana serangga demikian boleh membiakkan ulat atau giok.
Pada masa ini, tudung saji juga digunakan sebagai salah satu dalam hantaran beradat seperti menghantar berian iaitu dalam simbolik Langkah Dulang. Ia adalah hantaran yang terkandung sebentuk cincin dan wang saguhati bagi kakak pengantin perempuan yang belum berumahtangga (masih bujang).
Walaupun zaman semakin maju, ada juga pihak yang berusaha untuk menghasilkan kreativiti pembuatan tindulang ini dan menjadi industri serta kraftangan cenderahati pelancong.
Usaha memertabatkan dan agar kreativiti ini tidak hilang di makan peredaran zaman, diharap pihak institusi pendidikan dapat menyalurkan kemahiran di dalam kegiatan ko-kurikulum. Bukan setakat tindulang sahaja tapi dalam kraftangan lain seperti menganyam tikar pandan dan bakul.
KAMPONG LURONG SIKUNA
Jan 7th
KAMPONG LURONG SIKUNA
Kampong Lurong Sikuna terletak berhadapan dengan Perlabuhan Jambatan Kastam, Pekan Brunei (Bandar Seri Begawan). Ada riwayat mengatakan bahawa pada masa dahulu di kawasan ini terdapat seorang pemburis perahu yang cukup terkenal bernama Sikuna, maka digelarlah kawasan ini sebagai Kampong Lurong Sikuna bersempenakan nama beliau.

Schooner
Versi lain pula mengatakan bahawa kata ’sikuna’ adalah dari perkataan Inggeris iaitu schooner atau skuner yang bermaksud kapal layar yang bertiang dua. Sejak diperkenalkan sisitem Residen British di Brunei pada tahun 1906, sepuluh tahun selepas itu ramai warga Inggeris melawat Brunei malah ada yang tinggal lama di Brunei. Kedatangan mereka itu setentunya membawa kegemaran mereka. Salah satu kegemaran warga Inggeris ialah menyusuri Sungai Brunei dengan kapal layar iaitu skuner. Skuner yang dipandu oleh warga Inggeris ini menyusur di peraian Sungai Brunei Termasuk melalui jalur yang memisahkan kawasan antara deretan beberapa buah rumah dengan deretan buah rumah yang lain, dengan kata lain jalur atau lorong yang memisahkan kampung dengan kampung yang lain.
Memandangkan jalur yang terdapat berhadapan dengan Pelabuhan Jambatan Kastam itu agak luas dan airnya tenang malah memberi keselesaan mana-mana kapal layar atau skuner memasukinya. Oleh kerana kekerapan dan keselesaan penggunaan laluan skuner berkenaan maka penduduk di situ memanggilnya sebagai Lurong Sikuna. Yang pasti jika ada kapal layar yang dipandu oleh warga Inggeris tentu akan masuk dan keluar dari Kampong Lurong Sikuna.
Yah, apa pun versi yang dipakai mengenai dengan asal usul Kampung Lurong Sikuna, kampung ini memang cukup terkenal dengan perusahaan kain tenunan Brunei dan pemburis perahu. Kampung Lurong Sikuna juga terkenal dengan penghuninya yang mempunyai sifat kegigihan berusaha dan keberanian pengalunya yang jauh mengalu ke ulu-ulu pendalaman. Pengalu-pengalu yang berasal dari Kampong Lurong Sikuna bertebaran di merata tempat dan wilayah hingga ke Mengalong, Pandaruan, Limbang, Menunggul, Kampung Masin dan lain-lain kawasan. Memang kampung-kampung lain di Kampong Ayer juga mempunyai pengalunya tersendiri tetapi pada awal tahun 1930-an hingga ke penghujung tahun 1950-an, pengalu dari Kampong Lurong Sikuna yang paling ramai bertebaran di merata ulu-ulu sungai termasuk wilayah-wilayah lain di Sabah dan Sarawak.
Di samping itu sejak tahun 1920-an hingga sekarang, Kampong Lurong Sikuna mempunyai tokoh-tokoh agama yang digalati antaranya ialah Pehin Khatib Besar, Pehin Khatib Muhammad, Haji Ahmad yang juga dikenali sebagai Haji Landak serta Haji Metassim bin Md. Tahir (Begawan Pehin Tuan Imam Dato Seri Paduka Haji Metassim bin Md. Tahir) yang juga dikenali sebagai Imam Haji Munchit.
Mereka ini mengajarkan ilmu agama lebih-lebih lagi cara sembahyang dengan baik dan sempurna kepada dangsanak dan kaum kerabat keliling mereka. Natijahnya ialah membuahkan pancir keturunan yang berwibawa dan berguna kepada bangsa, negara dan agama antaranya ialah Yahya bin Haji Ibrahim (Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Haji Yahya bin Haji Ibrahim); Abdul Latif bin Haji Ibrahim (Dr. Haji Abdul Latif bin Haji Ibrahim); Ahmad bin Haji Ibrahim (Dato Paduka Haji Ahmad bin Haji Ibrahim). Ketiga-tiga adik beradik ini adalah purih keturunan Pehin Khatib Muhammad. Ayah Mereka Haji Ibrahim bin Pehin Khatib Muhammad adalah salah seorang pakar Ratib Saman di samping guru dikir yang amat digalati oleh penduduk Kampong Ayer sejak tahun 1940-an hingga sekarang.
Dalam sejarah Brunei kewujudan Kampong Ayer dikatakan bermula pada zaman pemerintahan Awang Alak Betatar, Sultan Brunei yang Pertama. Kampong Ayer pada mulanya terletak di tepi sungai yang berhadapan dengan Kota Batu di mana sultan membina istana dan pembesar-pembesar negara pada zaman ini membangun kediaman mereka. Kemudian kawasan Kampong Ayer berpindah dari muara sungai ke dalam Sungai Brunei yang ada sekarang iaitu berhadapan dengan Pelabuhan Jambatan Kastam semasa di bawah pemerintahan Sultan Abdul Kahar, Sultan Brunei ke-6 yang memerintah dari tahun 1524 hingga 1530. Dr. Haji Abdul Latif bin Haji Ibrahim dalam esei sejarahnya, “Padian: Its Market and Women Vendors”, Brunei Museum Journal 1970, Vol.2 No.1, menurunkan pendapatnya: “According to our legend, the first Kampung Ayer was supposed to be arround the area in front of Kota Batu (Stone Fort). The later was built during the 15th century at the crest of Brunei Greatness.”
Manakal itu keadaan Kampong Ayer pada abad ke-18 digambarkan sebagai rumah-rumah bertiang yang dibangunkan di sebelah menyebelah sungai. Di sebelah kanan menuju ke atas, rumah-rumah itu memanjang sejauh kira-kira setenga batu ke belakang. Di perantaraab setiap baris deretan rumah terdapat aliran sungai seperti lorong. Sebelum rumah-rumah dibina, alur itu merupakan lembah sungai yang lebar berair tohor. Di situ terbina rumah-rumah Kampong Ayer. Kampong Ayer masih lagi dijadikan pusat pemerintahan kerana penduduknya pada masa itu begitu padat.
Mengenai ‘lorong’ di Kampong Ayer ini, Dr. Haji Latif bin Haji Ibrahim dalam esei tersebut menukilkan pendapatnya bahawa “The lorong or anak sungai (waterlines) which characteristically divided Kampong Ayer into different names of villages were becoming narrower and narrower.” Ya, lorong dijadikan sempadan antarasebuah kampung dengan kampung yang lainyang terdapat di Kampong Ayer. Sempena lorong di Kampong Ayer ada kampung yang diberi nama Kampong Lurong Dalam dan Kampong Lurong Sikuna.
Manakala rangkaian purih keturunan Haji Ahmad yang juga dikenali dengan nama Haji Landak asal dari Kampong Lurong Sikuna, serta hasil bimbingan Begawan Pehin Tuan Imam Dato Seri Paduka Haji Metassim bin Md. Tahir iaitu Ketua Kampong Lurong Sikuna sejak tahun 1940-an hingga 1960-an, muncul individu-individu ini yang masing-masing dengan ketokohan tersendiri iaitu Mohd. Zain bin Haji Serudin (Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr. Ustaz Haji Mohd. Zain bin Haji Serudin); Hashim bin Haji Tahir (Dato Paduka Haji Hashim bin Haji Tahir); Jaya bin Abdul Latif (Pehin Orang Kaya Lela Utama Dato Paduka Jaya bin Abdul Latif); Zainal bin Abd. Kahar (Pehin Khatib Dato Paduka Haji Zainal bin Abd. Kahar); Mohammad bin Haji Serudin (Dato Paduka Haji Mohammad bin Haji Serudin); Abd. Saman bin Abd. Kahar (Dato Paduka Ustaz Haji Abd. Saman bin Abd. Kahar); Abas bin Haji Serudin (Pehin Orang Kaya Lela Sura Dato Seri Laila Jasa Haji Abas bin Haji Serudin); Md. Jali bin Abdul Latif (Dato Seri Setia Haji Md. Jali bin Abdul Latif); Mustapa bin Abu Bakar (Dato Paduka Haji Mustapa bin Abu Bakar); dan Ibrahim bin Begawan Mudim Pehin Orang Kaya Indera Lela Dato Paduka Haji Ismail (Dato Paduka Haji Ibrahim bin Begawan Mudim Pehin Orang Kaya Indera Lela Dato Paduka Haji Ismail).
Kampong Ayer (pantun puisi)
Jan 6th

Sungai Brunei airnya tenang,
Pulau Si Bungor di tengah-tengah,
Duhai Kampungku aduhai sayang,
Kampung Ayer dalam sejarah.
Deretan rumah di Sungai Brunei,
Berbagai fesyen berbagai bentuk,
Dari Saba ke Burong Pingai,
Kampong Tamoi hingga ke Subok.
(Shukri Zain)
TAMAN TASIK PERANGINAN TASIK LAMA
Dec 14th
Sebut saja Tasik Lama, penduduk sekitarnya sudah tahu. Di sinilah tempat mandi manda. Semacam tempat mandi awam. Itu dulu. Sekarang, tempat ini diubah suai untuk beriadhah. Di samping itu menjadi bekalan air di bawah jagaan Jabatan Kerja Raya terletak di atas bukit.
Pintu masuk ke Taman Tasik Peranginan Tasik Lama.
Tempat ini menjadi satu tarikan pelancong yang perlu dilawati kerana ia merupakan tempat penting selain Kampung Ayer. Pembesar negara dari negara jiran juga pernah mengadakan sessi beriadhah.
Kombinasi alam semula jadi. Pemandangan yang sejuk mata memandang.
Keselesaan bila berjoging diutamakan. Tiada basikal, tiada rollerblade, tiada binatang peliharaan..... sekali-sekala atu... ada jua kereta kontrek yang mengusai taman...
Tempat permainan untuk kanak-kanak.
Tempat refleksologi kaki disediakan.
Tempat mandi suatu ketika dulu. Sekarang tidak digalakkan lagi memandangkan pernah berlaku mangsa mati lemas telah dicatatkan di sini.
Twitter Updates for 2009-12-13
Dec 13th
- Twitter Updates for 2009-12-12 http://is.gd/5li0W #
Powered by Twitter Tools
Twitter Updates for 2009-12-12
Dec 12th
- Twitter Updates for 2009-12-11 http://is.gd/5k95X #
Powered by Twitter Tools




